Jumaat, 6 April 2012

Doa Senjata Umat Islam

Doa merupakan senjata umat Islam dan merupakan perisai serta pelindung manusia daripada segala bencana dan musibah.

Ibadah mulia itu bukan hanya dipanjatkan kepada Allah SWT setiap kali selepas menunaikan solat, tetapi hendaklah dilakukan pada setiap masa dan keadaan.

Lebih-lebih lagi apabila Islam merupakan agama persekutuan negara, doa akan dibaca, sama ada pada awal atau akhir dalam sesuatu majlis rasmi kerajaan.

Ini menunjukkan doa diangkat tinggi martabatnya untuk memberi berkat terhadap kesempurnaan sesuatu majlis.

Kebiasaannya doa pada majlis rasmi akan dibacakan oleh para mufti atau Imam Besar Masjid Negara atau negeri.

Susunan ayat al-Quran dan bahasa yang sesuai amat diperlukan supaya para tetamu yang menghadiri majlis itu memahami isi kandungan doa tersebut.

Sehubungan itu, Masjid Negara dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan sebuah buku bertajuk Koleksi Doa Imam Besar Masjid Negara yang merupakan hasil karya Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Sebanyak 34 doa yang antaranya dibaca oleh Syaikh Ismail ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Istiadat Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Majlis Sambutan Maal Hijrah dan lain-lain turut dimuatkan dalam buku tersebut.

Buku setebal 120 muka surat ditulis dalam tulisan Jawi dan Rumi merupakan hasil karya peribadi Syaikh Ismail sejak beliau bertugas di Jakim sehingga tokoh agama itu menjadi Imam Besar Masjid Negara.

Teks doa tersebut disusun dengan adab dan gaya bahasa mudah selain susunan kosa kata dengan penggunaan puji-pujian yang bertepatan dengan maksud doa.

Koleksi Doa Imam Besar Masjid Negara juga disertakan tulisan tangan Syaikh Ismail dan bacaan talkin serta doa selamat majlis perkahwinan berharga RM15 itu sesuai dijadikan rujukan dan garis panduan kepada mereka yang terlibat dalam memimpin bacaan doa, sama ada dalam majlis rasmi atau tidak anjuran kerajaan, swasta dan persendirian.

Untuk pertanyaan lanjut bagi mendapatkan buku berkenaan, orang ramai boleh menghubungi Unit Multimedia dan Penerbitan Masjid Negara di 03-26397784.

Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan